| 9.Anak
terlalu nakal
ANAK saya berusia tujuh tahun, sikapnya
terlalu nakal hingga sukar dikawal. Kenakalannya mengusik rakan sedarjah
menyebabkan guru sering memanggil saya ke sekolah untuk berbincang mengenai
masalahnya.
Apakah yang perlu saya lakukan untuk
mendisiplinkan anak? Sudah banyak kali saya bersabar hinggakan saya minta
air penawar supaya kenakalannya berkurangan, tetapi sikapnya masih tidak
berubah. Apakah yang perlu saya lakukan?
ANITA BACHIK
Pantai Dalam,
Kuala Lumpur
ANAK adalah anugerah dan amanat Allah
s.w.t. yang bernilai kepada ibu bapa. Ia jantung hati dan penawar rindu
pasangan suami isteri. Dalam membesarkan mereka, tentu ibu bapa menghadapi
banyak cabaran.
Sebagai asam garam dalam menguruskan
amanah Allah, bapa perlu sentiasa berdoa kepada Allah semoga anak isteri
dan keturunan mereka tetap dalam iman dan amal saleh selepas sembahyang
antaranya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh isteri dan zuriat keturunan
kami, perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikan kami imam ikutan
bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”
Dalam mendisiplin anak ada seninya
tersendiri. Antaranya ibu bapa mesti tegas kerana ketidaktegasan menyebabkan
anak berani melawan ibu bapa dan tidak mendengar nasihat.
Ia bukan hanya berkaitan hukuman
tetapi menggabungkan antara penghargaan dan hukuman yang dibuat berdasarkan
fikiran dan syariat, bukan emosi.
Pada ketika yang lain pula, ibu bapa
juga mesti menunjukkan contoh yang baik kepada anak seperti berlemah- lembut
dan merendahkan suara dalam tutur kata dan perbuatan.
Ini terutama ketika makan, berehat,
bermain dan membangunkan mereka daripada tidur. Semoga dengan gabungan
daripada usaha itu kita mampu mendidik anak yang soleh.
|