Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
:47.Ibu bapa paksa kembali ke agama asal

SAYA menjadi saudara baru selepas memeluk Islam dengan kerelaan sendiri, enam bulan lalu. Ibu bapa saya masih dengan fahaman animisme, tetapi mereka tidak menghalang anak-anak daripada menganut agama lain terutama Kristian. 

Tetapi, mereka cukup anti dengan Islam. Buktinya, kakak saya yang memeluk Islam kerana berkahwin, lapan tahun lalu, baru boleh diterima semula dan dilayan dengan baik oleh ibu bapa saya.

Enam tahun lalu, saya didaftarkan sebagai seorang Kristian dan jelas, ibu bapa saya terkilan kerana saya memeluk Islam tanpa memberitahu mereka. Mereka mahu saya kembali kepada agama asal, tetapi saya sudah nekad. Akibatnya, bapa saya tidak akan memaafkan saya sehingga ke akhir hayatnya.

Persoalan saya, adakah tindakan saya itu berdosa sedangkan saya sedikit pun tidak berniat untuk melukakan mereka?

Soalan kedua, bolehkah saya mengahwini teman wanita saya sedangkan ibu bapa saya tidak mengizinkan saya berumah tangga dengan gadis Muslim? Adakah saya berdosa sekiranya mengingkari mereka dan berkahwin tanpa restu?

FAHMI HUSSAINI
Taman Pelangi, Johor Bahru.

MEMILIH untuk memeluk mana-mana agama termasuk Islam adalah hak peribadi atas pertimbangan akal yang sihat. Antara syaratnya adalah seorang yang berakal dan mencapai usia tertentu (baligh). 

Mengingkari suruhan ibu bapa supaya kembali kepada agama asal tidak berdosa. Al-Quran mengingatkan: “Dan jika mereka berdua men desakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau -dengan fikiran sihatmu- tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Q 31: 15). 

Memilih seorang wanita Muslim yang kuat pegangan agama adalah sebaiknya. Isteri anda dan keluarganya akan membantu anda dalam mendalami ajaran Islam. Tidak menurut kata-kata ibu bapa sendiri tidak berdosa sebagai diterangkan dalam ayat di atas. 

Adalah baik menerangkan kepada keluarga mengenai perkara itu jika mampu berbuat demikian. Islam tidak menghapuskan hubungan kekeluargaan dengan sebab perbezaan agama.
 
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004