Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
:45.Dilema pelajar tiada agama

SAYA anak bongsu daripada empat beradik dan kedua ibu bapa sudah bercerai ketika saya masih kecil. Ayah dan ibu saya adalah saudara baru selepas mereka memeluk Islam sejak abang kedua saya dilahirkan. 

Selepas mereka bercerai, saya dibesarkan ibu dan tidak pernah berjumpa dengan ayah. Masalahnya, saya keliru sama ada saya Muslim, Kristian atau langsung tiada agama.

Ini kerana sejak kecil, saya tidak pernah diasuh dengan didikan agama atau sebarang anutan. Saya tidak pernah mengambil kelas didikan agama atau moral sepanjang persekolahan sama ada rendah atau menengah.

Lagipun di Sarawak, memang banyak golongan suku kaum yang tiada agama. Saya pernah bertanya kepada ibu mengenai agama saya, tetapi dia hanya berdiam dan saya takut untuk menanyakan soalan sama lagi.

Di sekolah, saya mengikut rakan yang tiada agama untuk belajar kelas moral dan tidak mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam kerana serba-salah. Saudara-mara saya beragama Kristian dan mereka tidak bertegur sapa dan seolah-olah bermusuh dengan kami.

Khabarnya, ibu saya menyisihkan diri sejak dia memeluk Islam. Kekeliruan itu membuatkan saya rapat dengan seorang guru agama dan selepas mendengar penerangan mengenai masalah saya, dia merumuskan ibu saya sudah murtad.

Mengenai agama saya, dia menyatakan saya Islam kerana ketika dilahirkan, ibu saya masih beragama Islam. Tetapi, yang pelik saya tidak pernah lihat ibu saya kembali kepada Kristian semula.

Sejak itu, saya mendalami Islam secara sembunyi tanpa pengetahuan ibu. Persoalan saya:

n Bagaimana kedudukan saya daripada sebelum sehinggalah saya tahu beragama Islam?

n Saya kini menyambung pengajian di Kuala Lumpur tanpa persetujuan ibu saya, lebih-lebih lagi dalam usaha mendalami Islam. Selepas berlaku pertelingkahan yang besar dalam keluarga, ibu dan abang menyatakan saya anak derhaka. Apa yang perlu saya lakukan?

n Ibu memutuskan hubungan dengan saya tiga bulan lalu. Akibatnya saya hidup dalam kesempitan kerana tidak boleh belajar sambil bekerja. Bagaimana dengan kedudukan agama saya sekiranya saya kembali ke pangkuan keluarga?
 
 

KAMALUL ARIFFIN ABDULLAH,
Pandan Indah, 
Kuala Lumpur.

SAUDARA baru perlu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa dan masyarakat Islam. Bagi mengelakkan hal seumpama ini berlaku, dicadangkan bahawa setiap saudara baru perlu mempunyai penjaga (wali) khusus bagi memandu kehidupan mereka yang baru saja masuk Islam. 

Jika tidak kehidupan mereka dan anak-anak mungkin terabai terutama apabila berlaku perceraian, kematian dan sebagainya seperti dalam kes ini dan lebih-lebih lagi apabila membabitkan dua saudara baru. 

Bagi soalan pertama, kedudukan anda tetap beragama Islam kerana dilahirkan dalam Islam. Apa yang perlu ialah mempelajari kembali dan mengamalkan ajaran Islam. Tidak mengamalkan ajaran Islam ketika dalam kejahilan dimaafkan. Mohon keampunan daripada Allah untuk anda dan ibu bapa anda. 

Keduanya, adalah tidak berdosa dan tidak dikira derhaka dalam mengengkari suruhan ibu dan adik beradik supaya kembali kepada agama asal. Al-Quran mengingatkan: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau -dengan fikiran sihatmu- tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Q 31: 15). 

Ketiga, berhubung dan kembali kepada keluarga tidak dihalang Islam. Mereka masih dikira keluarga anda. Bagaimanapun kembali menganuti ajaran selain Islam membawa kepada murtad, iaitu kembali kepada menjadi kafir (bukan Islam).
 
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004