| :44.Isteri
ketiga kecewa suami tidak adil
SAYA seorang janda yang mempunyai
seorang anak perempuan berusia enam tahun hasil perkahwinan lampau. Kini
saya sudah berkahwin dengan lelaki berusia 30-an dan mempunyai dua orang
isteri serta lima anak dan saya adalah isteri ketiganya.
Kami baru berkahwin selama tujuh
bulan atas dasar kasih sayang dan suami saya juga berkemampuan sebagai
seorang ahli perniagaan.
Masalahnya, suami saya tidak berlaku
adil pada saya. Sejak berkahwin saya rasa amat tertekan dan kecewa. Kami
sering bertengkar dan topiknya adalah kerana masa. Perkahwinan kami tidak
diketahui isterinya yang lain dan saya juga baik dengan mereka.
Dalam seminggu isteri pertama mendapat
tiga hari, isteri kedua tiga hari dan saya hanya satu hari saja. Kadangkala,
saya berkongsi satu hari dengan isteri pertama tetapi isteri kedua tetap
mendapat tiga hari. Isteri kedua berasal dari Thailand, mulutnya cukup
celupar dan dia selalu menyakitkan hati saya sampaikan saya tiada kebebasan
bersama suami saya sendiri.
Setiap pergerakan saya diperhatikannya.
Saya terpaksa bekerja untuk menyara diri, anak dan keluarga walaupun sudah
bersuami. Jelas, suami saya terlalu mementingkan isteri kedua dan sebagai
isteri barunya, saya terpaksa menelan pahit setiap hari melihat sikap suami.
Saya rasa seolah-olah sebagai tempat
persinggahan saja. Saya masih muda dan baru berkahwin dengannya kerana
inginkan kasih sayang dan perhatian suami. Suami saya tahu ketidakadilannya
pada saya tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa dengan alasan takut kepada
isteri lain.
Saya amat tertekan dan kecewa dalam
kehidupan bermadu begini, sudah banyak kali kami berbincang namun tiada
jalan penyelesaian. Sehingga kini saya hanya makan hati dan menangis memikirkan
kehidupan bermadu.
Saya pernah terfikir dan menyuarakan
kepada suami supaya melepaskan saya kerana saya sudah tidak tahan, tetapi
dia enggan. Apa guna kata di mulut ‘sayang’ namun diri dipergunakan. Apakah
yang perlu saya lakukan?
INSAN RUNSING,
Kuala Lumpur.
ISTERI yang bermadu berhak mendapat
giliran dan nafkah yang saksama daripada suami. Apabila hak dan layanan
tidak sama rata, kedua suami isteri hendaklah berunding. Al-Quran menegaskan:
“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”
(kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami
isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya),
kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai);
… (Q 4: 128).
Perceraian adalah bukan pilihan terbaik
dan sebaiknya bermuafakat sesama suami isteri dan isteri lain.
Dalam bermadu pula sikap tolak ansur
adalah penting. Ini kerana mungkin suami berusaha untuk berlaku adil, tetapi
tidak tercapai atas hal tertentu. Ini diingatkan Allah: “Dan kamu tidak
akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh
(hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampu
(berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri
lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang). …” (Q 4: 129).
Suami yang bertanggungjawab tentu
memahami kehendak ajaran Islam ini. Isteri pula bertindak menasihati suami
tentang tanggungjawabnya.
|