| :43.Sudah
bercerai masih merindu
SEBELUM berkahwin, suami saya mengaku
seorang duda yang mempunyai enam orang anak. Walau bagaimanapun, saya mula
syak diperdaya apabila kami berkahwin di selatan Thailand. Apabila saya
bertanya, dia mengatakan sebagai seorang anggota polis, dia tidak boleh
berkahwin dua kali kerana salah dari segi etika kerja dan boleh dikenakan
tindakan undang-undang.
Selepas setahun perkahwinan kami,
barulah saya dapat tahu dia memiliki seorang lagi isteri yang tinggal bersama-samanya
di Raub sedangkan saya tinggal di Kuantan. Patutlah suami saya berulang-alik
dua minggu sekali ke Raub, kononnya kerana kesibukan tugas.
Saya terima suratan takdir tetapi
selepas hampir dua tahun, saya kerap dimarahi dan didera manakala wang
tunai dan harta saya sudah dikikis hampir RM15,000.
Persoalan saya, apakah hukumnya suami
menggunakan duit mas kahwin kerana sehingga kini, dia masih berhutang dengan
saya?
Suami saya pernah berkata, kalau
isteri pertama menggunakan bomoh, maka akan jatuh talak tiga. Hasil penyiasatan,
saya dapati isteri pertamanya sudah menemui beberapa bomoh untuk memisahkan
saya dengan suami.
Akhirnya saya diceraikan dengan talak
tiga akibat kami sudah mula benci dan kerap bergaduh apabila bertentang
mata. Yang peliknya, saya masih sayang kepadanya dan kami saling rindu-merindui
apabila berbual menerusi telefon.
Jadi, apakah hukum kata-kata suami
saya terhadap isteri pertamanya itu? Jika benar sudah jatuh talak, apakah
mereka bukan lagi pasangan suami isteri dan sudah melakukan zina?
Selain itu, jika jodoh kami berpanjangan
bolehkan kami menggunakan kaedah cina buta atau boleh berkahwin semula
selepas tempoh tiga bulan 10 hari berakhir?
SAADIAH SAMAD,
Kuantan, Pahang.
MAS kahwin adalah pembayaran wajib
daripada suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakad nikahkan. Ia
dibayar tunai atau diakui sebagai hutang. Suami hanya boleh menggunakan
mas kahwin dengan kerelaan dan izin isteri (Q 4: 4). Apabila isteri tidak
mengizinkannya, suami perlu membayar balik sebagai hutang.
Bagi soalan kedua mengenai hukum
kata-kata bekas suami berhubung isterinya. Ia perlu disabitkan di mahkamah
melalui pembicaraan dengan anda sebagai saksi. Mahkamah akan memutuskan
kes itu. Dengan kata lain, laporan mahkamah hendaklah dibuat terlebih dahulu.
Apabila jatuh talak tiga, bagi membolehkan
bekas suami berkahwin semula, bekas isteri hendaklah berkahwin dengan lelaki
lain, bersetubuh, bercerai dan habis edah baru. Bagaimanapun, merancang
menerusi cina buta adalah haram. Ini kerana ia mempermainkan institusi
perkahwinan. Bagaimanapun, apabila terjadi bekas suami boleh berkahwin
semula dengan anda.
|