| 4.Harus
jaga kehormatan, elak terjerumus zina
- Apakah hukumnya melakukan onani?
Ini kerana ada sesetengah pendapat mengatakan onani baik untuk kesihatan.
Adakah onani dan jimak diklasifikasikan sebagai perlakuan atau perbuatan
yang sama?
- Bagi seseorang wanita, adakah wajib
dia mandi wajib selepas melakukan hubungan kelamin atau melakukan onani?
- Apakah hukumnya beronani pada siang
hari bulan puasa?
INTAN AZURA,
Butterworth,
Pulau Pinang.
ISTILAH onani bermaksud `mengeluarkan
mani dengan tangan’. Ia sama dengan perkataan melancap, iaitu melakukan
zina tangan dan rancap (Indonesia). Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai
masturbation, iaitu perihal memuaskan nafsu syahwat sendiri atau orang
lain dengan cara merangsang anggota kemaluan menggunakan tangan.
Istilah jimak pula berasal daripada
bahasa Arab bermaksud `perihal bersetubuh’. Berjimak ertinya bersetubuh
atau melakukan perhubungan kelamin.
Kebanyakan ulama mengharamkan onani.
Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu diharuskan seperti dikhuatiri terjerumus
dalam zina. Begitu juga hukum berjimak adalah haram kecuali dengan isteri
atau hamba sahaya perempuan (Q 23:5-7).
Seorang Muslim mesti menjaga diri
daripada terjerumus dalam kancah zina atau mukah, iaitu persetubuhan yang
tidak sah atau haram.
Selepas melakukan hubungan kelamin
atau onani, seseorang diwajibkan mandi wajib. Melakukan hubungan kelamin
dikira dalam hadas besar. Hadas maksudnya keadaan tidak suci yang tidak
boleh dilihat, tetapi wajib disucikan untuk membolehkan seseorang menunaikan
ibadat seperti solat. Menyucikan diri daripadanya ialah dengan mandi wajib.
Melakukan onani pada siang hari pada
bulan puasa membatalkan puasa dan wajib qada.
|