Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
:39.Pantang lihat wanita seksi

SAYA sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun. Masalah saya berkaitan sikap suami yang pantang melihat wanita seksi. Saya naik menyampah melihat gelagat suami ketika memandang wanita lain walaupun saya berada di sisinya. 

Saya sungguh tersinggung kerana dia tidak menghormati saya. Saya juga dikategorikan orang yang menarik dan masih juga ada orang yang berminat dengan saya. Tetapi saya tahu menjaga maruah saya sebagai isteri orang.

Suami saya juga selalu marah-marah saya dan anak tanpa sebab. Walaupun kesalahan kecil yang kami lakukan, habis kami dimarahinya. Bila ditanya, dia mengatakan mempunyai masalah kerja. Saya tidak dapat menerima kerana masalah kerja sering dibawa ke rumah.

Ini menjejaskan hubungan kami. Sikapnya juga berubah. Sebelum kahwin, tutur katanya sopan, tetapi sekarang sikapnya berubah menjadi kasar, garang, tutur kata selalu menyakiti hati saya.

Suami juga akan berbuat baik dengan saya jika dia mahukan sesuatu, contohnya jika mahu meminjam wang. Ikutkan hati saya serik memberi kerana dia masih tidak membayar hutangnya yang terdahulu. Saya cuba keraskan hati tetapi akhirnya mengalah.

Pernah terfikir untuk lari dari rumah dan bawa anak kerana tidak tahan dengan sikapnya yang saya rasakan tidak boleh berubah. Buat pengetahuan Dr Salam, saya telah banyak melakukan pengorbanan terhadap suami, namun dia tidak menghargainya.

Dia cuma akan berbuat baik dengan saya jika ada sebab untuk kepentingan dirinya sahaja. Saya sungguh kecil hati dengan sikapnya. Apakah jalan penyelesaian yang boleh saya lakukan? Apakah perceraian jalan terbaik bagi saya?

SITI
Petaling Jaya

DALAM mengurus hal ehwal rumah tangga Islam, isteri berada di bawah suami. Al-Quran menegaskan: “… dan dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). (Q 2: 228). 

Ini bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia di mana lelaki ada sedikit kelebihan berbanding wanita dalam mencari nafkah, menanggung sengsara fizikal, menghalang mara bahaya kepada keluarga dan sebagainya. 

Al-Qur’an juga menegaskan: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistemewaan) atas orang perempuan, dan juga orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Q 4:34). 

Bagaimanapun dalam menjalani kehidupan keluarga kedua-dua perlu saling bantu membantu. Ini kerana kedua-dua saling memerlukan antara satu sama lain. “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka” (Q 2: 187).

Atas asas ini, apabila lelaki atau suami cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya, perselisihan dan perbalahan akan berlaku disebabkan ketidakpuasan isteri. Ia juga disebut “nusyuz” daripada pihak suami. 

Bagaimanapun sebelum seorang isteri memilih untuk bercerai daripada suaminya, al-Quran menganjurkan supaya suami isteri berbincang demi untuk keharmonian rumah tangga. Dalam keadaan itu, al-Quran menegaskan: “Dan jika seorang perempuan [isteri] bimbang akan timbul dari suami “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiada salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai)…” (Q 4: 128).
 
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004