| :35.Tidak
wajar rai Hari Valentine
SAYA mempunyai beberapa kemusykilan.
Tarikh 14 Februari sudah berlalu dan tanpa perlu diceritakan, umum sudah
pasti tahu perayaan apa yang disambut pada tarikh itu. Perayaan Valentine
ini dipercayai diadakan bagi memperingati kematian seorang pendeta Romawi,
Pedro St Valentine yang dijatuhi hukuman mati pada 14 Februari 270M.
Bagaimanapun, perayaan ini sungguh
hangat disambut di negara kita. Saya tidak pernah terlintas untuk meraikannya.
Namun persoalannya, apakah hukum meraikannya sebagai tatapan kepada mereka
yang sedang hangat bercinta supaya tidak mengulanginya pada tahun yang
berikutnya?
Negara kita sering mengadakan Rumah
Terbuka peringkat negeri, kebangsaan dan sebagainya. Apakah hukum mengunjungi
Rumah Terbuka ini sedangkan perayaan itu bukanlah untuk menyambut Aidilfitri
ataupun sebarang perayaan muslim?
Ini kerana Rasulullah juga mengunjungi
rumah seorang Yahudi yang sedang menyambut perayaannya dengan ikram untuk
memenuhi tuntutan kejiranan.
SYAKIR SA’ADON
Tanjong Minyak, Melaka
HARI kekasih atau Valentine’s Day
bukan sebahagian daripada budaya hidup masyarakat Islam. Dengan kata lain,
tiada asas dalam Islam bagi menyambut perayaan atau hari mengingati kekasih
itu.
Seperti yang diutarakan di atas,
ia berasal daripada budaya masyarakat lain tetapi mula dikomersilkan oleh
media sehingga dunia nampaknya menerima tarikh itu. Pengaruhnya mula meresap
ke dalam masyarakat Islam.
Apa yang berlaku, hari Valentine
dirayakan seiring dengan kehendak nafsu serakah manusia. Umat Islam tidak
sewajarnya terikut-ikut dengan aliran sedemikian. Malah Islam berusaha
supaya manusia tidak mengikut hawa nafsu sehingga melupai tanggungjawabnya
sebagai hamba Allah.
Dalam mengunjungi rumah terbuka bagi
menyambut mana-mana perayaan masyarakat lain, umat Islam hendaklah mencontohi
Rasulullah (SAW). Kunjungan bertujuan menjalin perhubungan sesama manusia
dan bukannya mengikut upacara keagamaannya.
Islam adalah agama yang mengajak
manusia kepada perdamaian dan bukannya permusuhan. Baginda menghormati
penganut agama lain dalam menentukan agama pilihan mereka. Mereka juga
tidak dipaksa memeluk Islam, malah bebas untuk mengamalkan agama mereka.
|