3.Rahmat
meninggal di Makkah
SAYA selalu mendengar orang memperkatakan
mengenai kebaikan orang yang meninggal dunia dan dikebumikan di Makkah.
Apakah rahmat atau kebaikan bagi mereka?
Kedua, apakah kepentingan bernazar?
Adakah dengan niat bernazar, Allah akan mempermudahkan sesuatu yang kita
lakukan?
ROSLINA TAHIR
Taiping, Perak
BAGI soalan pertama, hadis Rasul
riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud menggalakkan lawatan ke tiga masjid,
iaitu Masjid Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid Aqsa
di Palestin.
Ini kerana terdapat banyak kelebihan
dan keistimewaan beribadat di masjid berkenaan. Umpamanya Rasulullah s.a.w
bersabda bahawa bersolat fardu di Masjid Nabawi 40 kali tanpa luput tertulis
buatnya keselamatan daripada neraka, keselamatan seksaan dan terselamat
daripada perbuatan nifaq.
Begitu juga terdapat kelebihan meninggal
dunia di Madinah. Menurut riwayat al-Tabarani, Rasulullah s.a.w. pernah
bersabda: “Sesiapa antara kamu yang mungkin mampu untuk meninggal dunia
di Madinah, meninggallah di sana. Sesungguhnya sesiapa yang meninggal dunia
di sana, aku menjadi saksi atau pemberi syafaah kepadanya pada hari kiamat.”
(Sabiq, 2000: I: 522-24).
Bagi soalan kedua, nazar adalah sebahagian
daripada ibadat dan sudah lama dipraktikkan. Umpamanya ibu kepada Maryam
(a.s) di dalam al-Quran pernah bernazar:
“Ingatlah ketika isteri ‘Imran berkata:
“Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang dalam kandunganku
sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu
semata-mata), maka terimalah nazarku; “ (Q 3: 35).
Tujuannya adalah untuk mendekatkan
diri kepada Allah dengan mewajibkan sesuatu perkara yang tidak diwajibkan
oleh syarak seperti puasa tiga hari atau sebagainya. Apabila seseorang
bernazar, Allah tentu mempermudahkan segala urusannya. Ini kerana segala
doa hamba-Nya hanya Allah yang memakbulkannya.
|