Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
:28.Kecewa bapa liat sembahyang

SAYA mempunyai tujuh beradik dan semuanya boleh dianggap berjaya dalam bidang akademik. Saya masih bersekolah dan tinggal bersama keluarga. Masalahnya, bapa saya yang berusia lewat 50-an seorang yang keras hati dan tidak mahu mengerjakan solat, suka membuang masa di luar rumah dan tidak pernah duduk berbincang bersama-sama dengan anak dan isteri. 

Dalam erti kata lain, rumah baginya hanya tempat tidur saja dan masa lain dihabiskan entah di mana. Jika ditanya, dia cepat meninggikan suara dan kadang-kadang dia keluar tanpa mengira waktu sama ada Maghrib, Isyak atau waktu solat Jumaat.

Jika difikirkan, saya malu mengenangkan sikapnya yang tidak mempunyai perasaan segan terhadap orang lain yang sibuk ke masjid. Puas kami berikhtiar mencari penawar tetapi sikapnya masih tidak berubah.

Segala nasihat jiran, saudara-mara dan kami sekeluarga tidak diendahkan. Hampir setiap hari kami menitiskan air mata mengenangkan sikapnya yang keras hati. Sebagai anak, kami hanya mampu berdoa dan melakukan solat hajat supaya sikapnya berubah.

Kalau diikutkan, timbul rasa benci tetapi dia tetap bapa saya, tidak kira baik atau buruk. Apakah tindakan patut saya lakukan kerana saya risau dengan pandangan bahawa seseorang yang tidak mengerjakan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tidak boleh menjadi wali pada majlis akad nikah anak perempuannya?

ZURINA AHMAD
Alor Setar, Kedah.

DALAM mazhab Shafie, wali adalah sebahagian daripada rukun bagi perkahwinan yang sah. Menurut susunan keutamaan tertib wali, bapa adalah yang pertama, diikuti oleh datuk, saudara lelaki seibu sebapa dan seterusnya. 

Antara syarat wali ialah beragama Islam, lelaki, baligh, dengan kerelaan sendiri, tidak berihram haji, tidak fasik dan tidak cacat akal fikiran. Syarat Islam, lelaki dan baligh dipersetujui semua ulama. Syarat lain terdapat perselisihan. 

Apabila syarat wali di atas tidak dipenuhi, maka wali akrab (dekat) berpindah kepada wali ab‘ad (jauh). Antara sebab-sebab berlaku perpindahan wali ialah wali akrab gila, wali akrab fasik, wali akrab berlainan agama dan wali akrab mati. 

Oleh itu, soal wali perkahwinan tidak difikirkan sangat. Ini kerana ada jalan penyelesaian dalam Islam. Apa yang penting ialah seluruh keluarga berusaha untuk memberi keinsafan kepada bapa supaya mematuhi kehendak ajaran Islam. Usaha itu mendapat ganjaran pahala daripada Allah s.w.t.
 
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004