| :27.Kekasih
hati tunangan orang
SAYA berusia 27 tahun dan berkenalan
dengan seorang perempuan berusia 22 tahun sejak enam bulan lalu. Hubungan
kami adalah baik dan saya berhasrat untuk menjadikannya isteri sejak berkenalan
dengannya.
Dia juga menyayangi saya dan berterus-terang
bahawa dia sudah jatuh cinta dengan saya. Tetapi masalahnya, dia sudah
dilamar kawan lelaki lamanya tanpa pengetahuan saya. Dia mendakwa tidak
tahu perkara itu dan ibu bapanya menerima lamaran itu kerana menyangka
dia sukakan lelaki itu.
Dia mengaku terpaksa menerima pertunangan
itu kerana ibu bapanya mengenali dan suka kepada lelaki itu. Saya pula
tidak pernah jumpa dan mengenali kedua-dua orang tuanya. Pada mulanya,
saya ingin melupakannya tetapi sejak akhir-akhir ini dia menimbulkan rasa
kesalnya kerana tidak menolak pinangan itu.
Dia amat menyayangi saya dan mengajak
saya kahwin lari, tetapi saya rasa bersalah kerana jika itu berlaku, ia
pasti memalukan keluarga. Hubungan kami semakin intim dan saya takut terlanjur.
Masalahnya, adakah salah di sisi
Islam sekiranya saya meneruskan niat untuk mengambilnya sebagai isteri
sedangkan tindakan itu pasti akan menyebabkan pertunangannya terputus sekali
gus menyakitkan hati orang lain.
INSAN BINGUNG,
Kg Pandan, Kuala Lumpur
PERTAMA, duduk berdua-duaan dengan
wanita bukan mahram dilarang Islam. Rasulullah (saw) menegaskan dalam satu
hadis yang diriwayatkan Ahmad: “Jangan seorang lelaki bersama dengan perempuan
yang tidak halal baginya kerana orang yang ketiganya nanti adalah syaitan
kecuali kalau ada mahramnya.”
Kedua, bagi menjaga perhubungan baik
sesama manusia, Islam melarang meminang atas pinangan orang lain. Rasulullah
menegaskan: “Tak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya hingga
yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya.”
Dengan itu mempunyai hubungan dengan
wanita tunangan orang adalah salah dan tidak sewajarnya berlaku. Perhubungan
anda hanya dapat diteruskan apabila ikatan pertunangannya terputusnya.
Ikatan pertunangan adalah sebahagian janji.
Atas sebab yang sah mana-mana pihak
boleh memutuskan janji. Bagaimanapun, memutuskan pertunangan dianggap mungkir
janji, dan perlu membayar ganti rugi jika ada tuntutan yang sah. Allah
berfirman dengan maksud: “Wahai orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakanlah
perjanjian kamu.” (Q 5:1).
Melakukan tindakan sendiri dan berfikiran
singkat seperti kahwin lari atau melakukan perkara mungkar seperti berzina
tidak sepatutnya berlaku bagi seorang Muslim.
|