| :25.Syak
wasangka suami curang
SAYA telah berkahwin pada 1998 dan
mempunyai dua anak. Saya isteri yang bekerja dan menanggung segala perbelanjaan
termasuk rumah sewa dan ansuran kereta berikutan suami tidak mempunyai
pendapatan tetap untuk menampung keluarga.
Tahun lalu, saya terbaca SMS (sistem
pesanan ringkas) berbaur cinta dikirim seorang gadis ke telefon bimbit
suami saya. Saya terkejut dan segera meminta penjelasan. Suami memberitahu
gadis itu adik angkatnya yang dikenali tidak lama dulu dan dia berjanji
tidak akan meneruskan perhubungan itu.
Bagaimanapun, baru-baru ini saya
sekali lagi terbaca SMS yang dikirim gadis berkenaan mengirim lagi SMS
meluahkan perasaan sayangnya terhadap suami saya. Saya sungguh kecewa kerana
selama ini menyangka suami sudah memutuskan perhubungan dan ternyata, suami
saya menipu saya.
Kami telah bergaduh dan saya berjaya
menghubungi gadis berkenaan.Gadis itu memberitahu suami saya mengaku dirinya
bujang dan belum berkahwin. Setelah mendapat tahu,rahsianya terbongkar,
suami memohon maaf dan berjanji tidak akan berlaku curang lagi.
Adakah saya bersalah dan berdosa
sekiranya:
1- kepercayaan terhadap suami telah
berkurangan sebaliknya saya sering syak wasangka terhadapnya?
2- selepas peristiwa itu, saya tidak
pernah memaafkan kesalahan yang dilakukannya.
3- saya memberi amaran kepada suami
sekiranya dia berlaku curang sekali lagi, saya akan membawa anak-anak keluar
dari rumah itu
4- apa yang harus saya lakukan supaya
suami benar-benar sedar dan insaf terhadap perbuatannya?
NORLIZA DAIM
Taman Desa, Kuala Lumpur
SEMEMANGNYA perhubungan antara suami
isteri berteraskan semangat saling percaya-mempercayai. Perasaan syak wasangka
berlebihan mengeruhkan hubungan rumah tangga. Memaafkan kesalahan adalah
sifat yang terpuji dan mulia.
Ini kerana sebagai manusia tentu
ada salah dan silap. Sikap saling maaf-memaafkan adalah antara cara mengekalkan
hubungan baik antara sesama manusia lebih-lebih lagi antara suami isteri.
Bertindak melulu seperti keluar rumah
dengan membawa anak-anak bukan jalan terbaik. Apa yang terbaik ialah segala
konflik keluarga hendaklah diselesaikan di rumah dan antara keluarga.
Menasihati suami bukan suatu yang
mudah. Ini kerana suami sepatutnya yang membimbing keluarga, baik anak
atau isteri. Bagaimanapun, isteri yang baik dan bertanggungjawab akan cuba
sedaya upaya untuk menasihati dan membimbing suami.
Ini termasuk mendekatkan suami dengan
ajaran Islam seperti sembahyang, mendengar kuliah agama, berdamping dengan
masyarakat dan masjid.
|