Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
:24.Musykil hadis keistimewaan tiga bulan Islam

SAYA ingin meminta penjelasan Dr Salam mengenai satu hadis yang bermaksud: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku”. 

Saya mula musykil selepas membaca satu artikel tulisan seorang hamba Allah dan menurut kajiannya, dia menyatakan hadis berkenaan adalah hadis palsu.

Selain itu, benarkah wujud amalan berpuasa sunat setiap kali menjelang 27 Rejab dengan tujuan memohon keredaan Allah? Ada pendapat yang mengatakan ia termasuk dalam perbuatan bidaah kerana tiada dasar dalam agama, sama ada dari al-Quran, hadis atau diamalkan oleh para sahabat.

KHAIRUL TAUFIQ 
ABU BAKAR
Kluang, Johor

WALAUPUN ada pertikaian mengenai hadis terbabit, kita tidak dapat menafikan ketinggian ketiga-tiga bulan dalam Islam di mana pada Rejab berlaku Isra’ Mikraj Rasulullah s.a.w dan pada Syaaban Rasulullah s.a.w membanyakkan puasanya.

Menurut Rasulullah, Syaaban adalah bulan pertengahan antara Rejab dan Ramadan di mana manusia sering melupakannya. Pada bulan itu juga segala amalan manusia diangkat kepada Allah. Menurut Rasulullah s.a.w, baginda mahu amalannya diangkat ketika dia berpuasa. 

Bagaimanapun, menurut Sayyid Sabiq, menetapkan puasa pada pertengahan Syaaban semata-mata tiada dalil yang sahih (Sabiq, 2000:1:317). Ramadan pula ialah bulan al-Quran dan berlaku Lailatulqadar. Dengan kata lain, amal ibadah yang betul yang dilakukan umat Islam seperti bersembahyang sunat, berpuasa dan bersedekah bagi mendekatkan diri kepada Allah pada bulan itu tidak perlu dipertikaikan. 

Kadangkala perbuatan sesetengah umat Islam yang cepat menghukum sesetengah amalan sebagai bidaah hanya merugikan masyarakat Islam semata-mata. Mereka bukan sahaja membawa masyarakat kepada perpecahan dan pergaduhan, malah menjadikan umat Islam kurang mengambil berat dalam amalan sunat bagi mendekatkan diri kepada Allah. Amalan sedemikian juga dapat menguatkan perpaduan sesama masyarakat Islam.
 
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004