Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
:23.Pasangan muda ingin gugur kandungan

SAYA berusia 19 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Masalahnya, baru-baru ini saya hamil anak kedua (sebulan setengah), tetapi saya dan suami sepakat untuk mencucinya atau dalam erti kata lain, membuang kandungan itu. 

Keputusan itu dibuat kerana masalah kewangan, lebih-lebih lagi anak pertama saya baru berusia sembilan bulan. Saya juga sudah tiada ibu, yang boleh membantu untuk menjaga anak saya. Gaji sebanyak RM500 sebulan juga dikhuatiri tidak cukup untuk membayar penjaga serta keperluan bayi itu.

Gaji suami sebanyak RM700 hanya cukup untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan air serta makanan saja.

Saya dan suami pernah bergaduh besar sehingga dia bertindak menghalau saya keluar dari rumah dan saya tiada pilihan kecuali menumpang di rumah rakan kerana kakak serta abang saya sudah berkahwin dan membawa haluan masing-masing.

Adakah tindakan saya mencuci atau menggugurkan kandungan itu salah di sisi agama? Bagaimanakah cara untuk menjaga kerukunan rumah tangga, lebih-lebih lagi membabitkan pasangan muda.

NOR’AIN RAMLI
Taman Datuk Senu, Kuala Lumpur

ISLAM sangat menghormati nyawa manusia dan berusaha untuk menjaganya. Sehubungan itu, Islam melarang wanita menggugurkan kandungan. Ini kerana anak dalam kandungan mempunyai hak untuk hidup. Menggugurkan kandungan dikira perbuatan keji dan sepatutnya tidak dilakukan. 

Pilihan terbaik ialah menyerahkan anak itu kepada mana-mana keluarga angkat yang ingin memelihara anak. Kita mendapati banyak pasangan tidak dikurniakan anak dan mereka ingin mendapat anak angkat. 

Antara panduan bagi menjaga kerukunan hidup suami isteri. Pertama, pasangan perlu memahami tanggungjawab masing-masing. 

Suami umpamanya perlu memberi nafkah kepada isteri, anak-anak berupa tempat tinggal, makan minum dan pakaian; bertanggungjawab menjaga kesihatan mereka; memberi kasih sayang serta membimbing dan menunjuk ajar. 

Isteri pula menghormati dan menyayangi suami, menjaga maruah diri, menjaga harta suami serta meminta izin suami apabila keluar rumah.

Perkara kedua, sikap sayang-menyayang dan saling bermaaf-mafan hendaklah sentiasa dipupuk antara kedua pasangan. 

Manakala perkara ketiga adalah berpuas hati dan bersyukur dengan segala nikmat yang ada dalam keluarga.
 
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004