Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
2.Dilema jejaka berjiwa wanita

SAYA berusia 19 tahun dan masalahnya, ramai rakan yang menggelar saya lembut, pondan, gay, mak nyah dan pelbagai lagi ejekan yang menyakitkan hati ini. Apabila mendengar perkataan pondan, saya tertekan, pedih, hina sehingga ada ketikanya terus menangis. 

Saya menganggap diri ini bagaikan sampah yang terbiar di tepi jalan, tersingkir daripada masyarakat kerana saya tidak dapat menerima hakikat ini. Saya berdoa kepada Allah supaya dapat kembali kepada-Nya dalam keadaan beriman. Bagi saya, diri ini tidak bermakna lagi. Saya sudah banyak kali cuba untuk memperbaiki dan mengubah gaya lemah-lembut saya tetapi gaya itu tetap sama seperti dulu.

Saya juga mencuba untuk mencintai dan menyukai wanita tetapi entah mengapa hati saya langsung tiada perasaan cinta terhadap perempuan sebaliknya saya lebih menyukai lelaki.

Mungkinkah saya tidak dapat berkahwin? Saya juga menyimpan gambar lucah (gaysex). Seperti lelaki lain, saya juga mengamalkan onani bagi memuaskan nafsu saya. Saya sering bertaubat tetapi tetap mengulangi perbuatan itu (onani).

Saya juga kerap meninggalkan sembahyang. Bagaimanakah untuk menggantikannya? Bilakah hari yang sesuai untuk menggantikannya?

Sehinggalah ke hari ini, fikiran saya menjadi buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Mungkinkah Allah tidak mengampunkan saya atas segala dosa yang dilakukan? Adakah pintu taubat ini sudah tertutup dan tidak adakah sedikit nur (cahaya) keinsafan menerangi lubuk hati yang penuh dengan dosa besar?

Saya memerlukan pertolongan dan guru kaunseling agama untuk memberikan saya petunjuk dan memimpin saya ke arah jalan kebenaran.

JAMIL RASUL,
Pandan Indah, Kuala Lumpur

UMUMNYA masyarakat tidak dapat menerima kehadiran lelaki yang bersifat keperempuanan. Ini kerana masyarakat manusia secara jantinanya terbahagi kepada lelaki dan perempuan. Ia pula bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia dan lain-lain secara berpasangan. Dengan itu kelangsungan manusia dan makhluk lain berterusan.

Bagi lelaki yang bersifat keperempuanan, istilah dalam Bahasa Melayu ialah pondan, banci, kedi, papak, dan ponen. Kedi ialah orang yang seperti lelaki atau perempuan tetapi tidak sempurna sifat kelelakian atau keperempuanannya. 

Istilah itu juga digunakan kepada perempuan yang bersifat kelelakian. Manakala dalam bahasa Arab ia disebut sebagai mukhannath atau mukhannith dan dalam bahasa Inggeris, ‘effeminate’. Terdapat perbezaan antara mukhannath dan mukhannith. Mukhannath adalah lelaki yang bersifat keperempuanan seperti daripada aspek kelembutan, kehalusan, keayuan, kemanisan, lemah-gemalai, ketidaktegasan dan mudah lentur, lagi terjejas dengan lembap dan kurang upaya anggota badan.

Manakala mukhannith pula ialah seseorang yang membuat tutur bicaranya seperti wanita dalam kelembutan dan kehalusannya. 

Islam juga melarang lelaki berperangai seperti perempuan. Nabi Muhammad s.a.w. mengutuk perbuatan lelaki yang menyerupai wanita seperti cara bercakap, berjalan dan berpakaian. Dengan itu sebagai penganut Islam, kita perlu menghindari daripada berkelakuan sedemikian. 

Berkaitan onani pula, kebanyakan ulama mengharamkan onani. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu diharuskan seperti dikhuatiri terjerumus dalam dosa zina.

Manakala berkaitan sembahyang, setiap Muslim diwajibkan menunaikan sembahyang lima waktu. Meninggalkan kewajipan sembahyang adalah berdosa besar. Apabila tertinggal hendaklah segera diqada atau diganti waktu yang tertinggal. Selagi tidak diqada, kita berdosa. 

Mengenai taubat pula, Allah sentiasa menerima taubat hamba-Nya. Apabila bertaubat hendaklah disemat dalam hati tidak mahu mengulangi dosa lalu.

Balik
 

::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004