Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
18.Isteri sering bantah suami

SAYA sudah berkahwin 10 tahun lalu dan dikurniakan dua anak. Bagaimanapun, isteri saya sering membantah pendapat dan tunjuk ajar saya jika ia tidak serasi dengan kehendak hatinya. 

Isteri saya juga sering keluar rumah tanpa pengetahuan dan keizinan saya terutama jika diajak adik-beradik atau keluarganya. Dulu, dia bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan lebih tinggi daripada pendapatan saya tetapi berikutan kegawatan ekonomi, isteri saya hilang pekerjaan kerana kilang itu ditutup. 

Walaupun isteri saya menjadi suri rumah sepenuh masa, saya masih mampu menyara keluarga. Malah saya juga mampu membeli pelbagai kelengkapan rumah untuk kesenangan kami sekeluarga. Saya juga turut membuat pekerjaan lain selepas waktu pejabat dengan menjual burger untuk menambah pendapatan.

Masalah sekarang, selepas beberapa tahun menjadi suri rumah, isteri saya merasa jemu dengan tugas harian di rumah dan ingin bekerja semula. Tetapi saya tidak membenarkannya kerana masalah penjagaan anak-anak, lagipun pendapatan saya sudah memadai untuk menyara kami sekeluarga. 

Dia tetap meneruskan hasratnya untuk bekerja semula walaupun saya membantah dan tidak mengizinkannya. Saya sedih mengenangkan nasib anak saya yang akan bersendirian di rumah jika dia bekerja. 

Pada penghujung tahun 2002, anak saya memberitahu isteri saya telah keluar menghadiri temuduga (tanpa keizinan saya). 

Bapa mentua saya sendiri menghantarnya dan saya tidak tahu-menahu langsung mengenai hal itu. Awal Januari 2003, tanpa keizinan saya, isteri saya mula bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang dan saya amat sedih dengan tindakannya itu. 

Lebih menyedihkan dia meninggalkan rumah pada jam 5 pagi hingga 8.30 malam dan 5 petang hingga 8.30 pagi (dua syif). Kedua-dua anak saya terpaksa menguruskan diri sendiri untuk ke sekolah kerana tiada siapa menemani mereka di rumah. 

Keadaan dalam dan sekitar rumah tidak terurus lagi berselerak. Saya pula terpaksa pulang pada waktu tengah hari dari tempat kerja ke rumah (24 kilometer) untuk menghantar makan tengah hari kepada anak-anak saya.

Oleh kerana perasaan tidak puas hati saya semakin tidak dapat dibendung, kami sering bertengkar dan ada kalanya tidak bertegur sapa hingga berminggu-minggu. Pernah beberapa kali dia meminta supaya saya meninggalkannya kerana tidak tahan mendengar teguran saya.

Baru-baru ini, saya pernah dihalau keluar dari rumah kerana meminta dia berhenti kerja bagi menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Saya sedar rumah itu atas namanya tetapi saya yang membeli dan menanggung bayaran ansuran. Itu seperti hadiah daripada saya kepadanya.

Setelah dihalau keluar, saya berlalu pergi tanpa dihalang olehnya. Cuma anak-anak yang merintih supaya saya tidak ke mana-mana. Saya tinggal dengan bapa saya selama tiga hari. Pada hari ketiga, saya tidak dapat menahan sedih mengenangkan nasib anak-anak saya yang bersendirian di rumah apatah lagi keesokannya hari raya. 

Saya kembali ke rumah dan anak-anak saya berada dalam rumah yang tidak terurus itu, manakala isteri saya sudah keluar ke tempat kerjanya. Walaupun sebelum itu saya dihalau, namun saya pulang semula walau tidak dijemput kerana rindukan anak-anak.

Pada hari raya saya berlagak seperti tiada apa terjadi, begitu juga dengan isteri saya. Kami berhari raya di rumah bapa saya dan bapa mentua saya seperti tiada apa-apa yang terjadi. Namun bapa saya tahu masalah saya kerana saya telah memberitahunya ketika saya dihalau dari rumah. 

Pada hari raya ketiga, bapa saya pergi ke rumah bapa mentua saya untuk mencari jalan penyelesaian bagi kami berdua. Malangnya, bapa mentua saya membidas bapa saya dan segala kata-katanya menyebelahi isteri saya. 

Kononnya hidup isteri saya menjadi susah sepanjang bersama saya. Kononnya perbelanjaan yang saya berikan selama ini kepada isteri saya tidak mencukupi hingga terpaksa dia bekerja semula. Malah ada juga tohmahan yang menyatakan bapa saya tidak tahu mendidik saya menjadi manusia.

Bapa saya pulang semula ke rumah pada hari sama dengan menangis. Bapa saya tidak menyangka penyelesaian yang dicari menjadikan keadaan bertambah kusut. Kini isteri saya makin besar kepala kerana bapanya membelanya dan langsung tidak mempedulikan kami bertiga.

Bagaimanakah harus saya hadapi tekanan ini? Sudah banyak kali kami berbincang namun ia tetap buntu malah pendapat saya sering disanggah. Hubungan saya dan bapa saya dengan keluarga bapa mentua saya makin hari makin jauh.

Saya bingung apabila bapa dan saudara mara saya meminta saya meninggalkan isteri saya kerana dia tidak tahu menghormati suami dan menguruskan rumah tangga, tetapi saya bimbang akan nasib anak-anak saya selepas itu. Apakah yang harus saya lakukan?

AZMI AZIZ
Butterworth, Pulau Pinang.

SEBAGAI ketua keluarga kita hendaklah bertindak bijak. Contohnya, apabila suami menyedari suatu yang tidak kena dalam rumah tangganya, dia perlu segera bertindak membetulkan keadaan. Apabila isteri enggan mematuhi suruhan suami, isteri dikira nusyuz. 

Apabila sabit nusyuz, maka gugur semua haknya sebagai isteri seperti nafkah dan sebagainya. Antara tindakan bijak ialah menyelesaikan segala masalah keluarga secara peribadi. 

Al-Quran mengajar kita: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (Q 4: 34).

Apabila masalah itu menjadi lebih rumit, perbincangan antara keluarga dijalankan. Kalau kedua-dua suami isteri menghendaki perkara baik, nescaya ia akan berlaku. Perceraian pula adalah jalan terakhir dalam menyelesaikan krisis rumah tangga.
 
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004