| 15.Secupak
beras setiap hari tinggal puasa
SESEORANG yang meninggalkan puasa
diwajibkan menggantinya. Benarkah apabila seseorang itu meninggalkan puasa
beberapa tahun, kadar fidyah bertambah, iaitu setiap satu hari dalam masa
setahun adalah satu cupak beras?
Adakah wajib qada puasa serentak
dengan membayar fidyah dan apakah hukumnya jika terlebih membayar fidyah
(beras)? Adakah golongan yang tidak mampu saja diberikan fidyah itu dan
bagaimana jika diberikan kepada orang yang sama?
HAIRINA MASRIN,
Pelabuhan Klang,
Selangor
MEMBAYAR fidyah adalah sebahagian
denda bagi orang yang meninggalkan puasa wajib atau puasa nazar dan gagal
mengqada sehingga memasuki tahun seterusnya. Bagi setiap hari atas kelewatan
qada ialah satu cupak beras. Fidyah juga diganda menurut bilangan tahun.
Qada puasa tetap wajib ditunaikan.
Puasa boleh diqada sepanjang tahun dengan syarat tidak memasuki tahun berikutnya.
Dengan itu dia boleh membayar fidyah terlebih dulu dan seterusnya puasa
ganti atau sebalik. Dengan menunaikan puasa ganti dulu, bermakna fidyah
tidak diganda jika gagal qada.
Fidyah dibayar kepada orang miskin
dan boleh diberikan kepada orang yang sama. “Dan wajib atas orang yang
tidak berdaya berpuasa (kerana tua atau sebagainya) membayar fidyah, iaitu
memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan
(bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu
kebaikan baginya;” (Q 2: 184).
|