Make your own free website on Tripod.com
.
Balik ke Laman Utama
::1001 kemusykilan Dr Salam...
12.Guru SAR keliru bantuan tamat

BARU-BARU ini, seorang usahawan membantu saya menyumbangkan RM400 setiap bulan. Sumbangan yang diberikan itu atas niat zakat dan saya sudah menerimanya setiap bulan. 

Selepas lebih setahun menerima sumbangan itu, saya menerima panggilan telefon daripada usahawan itu memberitahu sumbangan zakat kepada saya dibekukan. 

Katanya, seorang guru agama menyatakan sumbangan zakat kepada saya itu terlalu banyak dan saya sebenarnya tidak layak menerima zakat berkenaan.

Buat pengetahuan ustaz, saya kini mengajar di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan saya ada mendengar dalam kuliah agama bahawa guru yang mengajar di SAR juga layak menerima wang zakat. 

Saya mohon penjelasan Dr Salam mengenai perkara ini. Terima Kasih.
 
 

INSAN KELIRU

Tanah Merah, Kelantan.
 
 

Di dalam al-Quran, zakat sama ada zakat harta atau diri (fitrah) dikeluarkan oleh seorang Muslim yang cukup syarat-syarat kepada lapan golongan yang layak menerima zakat.

Mereka ialah orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurus zakat, muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan (Q 9:60). 

Adalah menjadi hak seorang Muslim yang mengeluarkan zakat untuk memberikannya kepada mana-mana golongan di atas. Mengeluarkan kepada amil yang dilantik umpamanya mungkin lebih berkesan bagi memastikan pengagihan yang betul.

Memberi zakat kepada guru al-Quran dan agama termasuk dalam kategori perbelanjaan di jalan Allah. Ini kerana perbelanjaan di jalan Allah luas skopnya. Ia merangkumi kepentingan umum masyarakat Islam seperti pertahanan, pendidikan dan sebagainya. 

Dengan kata lain wang zakat digunakan untuk mempertahankan negara Islam dan juga tujuan pendidikan masyarakatnya. Pembinaan sekolah dan institusi pendidikan dan juga pemberian kepada guru-gurunya. Bagaimanapun, menurut Sayyid Sabiq (I: 280), guru yang kaya tidak termasuk dalam kategori penerima zakat.

 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004